Dari Meja : Rosman Sukim & Rizal Ramli

Tarikh :

Perkara : Busana Melayu Tradisional..

 

 

 

Nantikan Kemunculannya.... PERTAMA SEUMPAMANYA DI MALAYSIA!!

 

 

Rosman Sukim (Penulis) merupakan seorang penggiat seni budaya Melayu dan pengamal seni beladiri bangsa Melayu – Silat. Beliau mula melibatkan diri dengan aktiviti berbusana sejak mula berkecimpung dalam arena persilatan iaitu pada tahun 1988. Beliau mendapat mendedahan awal dalam berbusana di gelanggang silat dengan mengadakan demonstrasi silat di sekolah-sekolah, majlis-majlis keramaian serta majlis-majlis rasmi; menyertai pertandingan Silat Seni Sekolah-sekolah Malaysia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Beliau mula serius dengan aktiviti menghidupkan kembali pemakaian busana Melayu tradisional sejak 7 tahun yang lalu. Sebelum itu beliau lebih banyak menumpukan kepada kajian tentang sejarah, adat dan adab, pengkajian seni senjata Melayu dan Nusantara, khususnya bidang perkerisan. Minat yang mendalam terhadap seni senjata tradisional Melayu dan semua aspek budaya Melayu itu sendiri membuatkan beliau menjadi pakar rujuk bagi busana Melayu tradisional dan seni senjata tradisi Melayu, terutamanya keris.

Atas semangat memperjuangkan serta meneruskan usaha pelestarian seni budaya bangsa, beliau menubuhkan AKADEMI PUSAKA KERIS SENUSANTARA (SA 0266184 P) yang bertindak sebagai sebuah institusi pengajian Alam Melayu.

Pengasas Akademi Pusaka Keris SeNusantara (Akademi Pusaka) yang telah ditubuhkan pada bulan Mei 2013 ini merupakan seorang pencinta dan penggerak budaya alam Melayu yang aktif. Bermula dengan seni beladiri bangsa Melayu - Silat, beliau mula mencari guru, meneliti, mengkaji dan memahami ilmu persilatan dari beberapa perguruan dan guru-guru silat yang akhirnya membawa kepada minat kepada seni-seni alam Melayu lainnya yang bersangkutan dengan alam persilatan yang digemarinya. Lulusan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini juga turut meneroka serta menelusuri seni-seni alam Melayu lain, terutamanya Seni Keris dan senjata alam Melayu, busana Melayu tradisional serta pelbagai lagi elemen-elemen budaya alam Melayu. Minat yang mendalam terhadap seni warisan bangsa Nusantara ini diterjemahkan dengan penubuhan Akademi Pusaka Keris SeNusantara sebagai platform perjuangan memperkembangluaskan serta mendidik masyarakat terutamanya generasi muda tentang ilmu-ilmu seni warisan bangsa yang hampir tidak berkesinambungan.

 

Cabang-cabang seni Alam Melayu:

 

1)    Busana Melayu Tradisional

2)    Senjata Alam Melayu (keris, badik, lawi ayam, lembing dan sebagainya)

3)    Adat-istiadat Melayu (istiadat mengiring, silat pulut dan sebagainya)

4)    Permainan bangsa Melayu (gasing, wau, batu seremban dan sebagainya)

5)    Makanan bangsa Melayu (kuih lapis, kuih keria, ketupat dan sebagainya)

 

 

Mohd Rizal Ramli (Penulis Bersama) pula mula melibatkan diri dalam aktiviti berbusana Melayu tradisional sejak mula melibatkan diri dengan aktiviti persilatan di sekolah, iaitu pada akhir tahun 1989. Beliau mendapat mendedahan awal dalam berbusana Melayu di gelanggang silat dengan mengadakan demonstrasi silat di sekolah-sekolah, majlis-majlis keramaian serta majlis-majlis rasmi; menyertai dan menjuarai pertandingan Silat Seni Sekolah-sekolah Malaysia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan selama 5 tahun berturut-turut (2 kali menjadi juara kebangsaan). Dalam pertandingan Silat Seni di peringkat sekolah-sekolah mendedahkan beliau kepada pemakaian busana Melayu yang pelbagai oleh setiap wakil negeri-negeri. Beliau juga didedahkan dengan adat-istiadat serta tatacara berbusana Melayu di majlis-majlis adat persilatan seperti Majlis Penerimaan Sandang (yang turut melibatkan protokol istana), Majlis Penyampaian Bengkung dan sebagainya. Ditambah pula dengan tuntutan sebagai salah seorang gurulatih silat yang perlu memahami adat-istiadat Melayu lama yang dipraktikkan dalam persilatan yang beliau sertai. Walau bagaimanapun beliau hanya mula serius dengan aktiviti berbusana Melayu tradisional secara lebih terbuka sejak 3 tahun yang lalu.

Beliau merupakan salah seorang Penggerak kepada Akademi Pusaka Keris SeNusantara (Akademi Pusaka) yang lebih menumpukan kepada bahagian teknologi maklumat dan promosi. Beliau banyak mendapat pendedahan berkaitan elemen-elemen alam Melayu yang lain melalui guru-guru dan sahabat-sahabat terutama sekali abang seguru beliau, saudara Rosman Sukim.

Yang Benar,

 


Hakcipta Terpelihara © 2015 - 2016 Busana Melayu @ Akademi Pusaka Keris SeNusantara (SA 0266184 P)
Halaman Web ini dijana dan diperkuasakan oleh Mini Site Mudah(MSM)